Thursday 3 March 2011

Surau Kampung Bemban


SURAU MENJANA KEMANTAPAN UMMAH...
                 Surau merupakan tempat yang terbaik untuk melakukan amal ibadat selepas masjid. Surau Kampung Bemban merupakan destinasi kajian ataupun tugasan saya.  Surau Kg. Bemban terletak di lokasi Kampung Bemban,Mukim Gelong, 06000 Jitra Kedah Darul Aman.  Surau ini diberi nama berdasarkan kampung itu sendiri iaitu,Kampung Bemban. Surau ini ditubuhkan pada tahun 1950-an, dan merupakan surau yang ketiga ditubuhkan di kampung ini. Pengasas kepada surau ini ialah Haji Othman bin Salleh.  Keseluruhan perbelanjaannya dianggarkan lebih kurang   RM 10,000.00. Pembinaan surau ini telah dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 1950-an. Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak AJK Surau dan penduduk setempat,Surau Kg Bemban,akan dapat mengembangkan lagi syiar Islam di samping dapat mewujudkan semangat Ukhuwah Islamiah di kalangan masyarakat Islam di kampung ini. 
                      Pentadbiran Surau kg. Bemban telah melantik Haji Othman b. Wahab sebagai Pengerusi  Surau Kg Bemban . Beliau berperanan menggerak dan menghidupkan aktiviti pengimarahan Surau disamping menjadi pakar rujuk agama Islam . Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kampung ini.
                    Asalnya  struktur binaan surau ini hanya berlandaskan bata dan papan semata-mata, setelah masyarakat di sekeliling mengetahui kepentingan surau,mereka perbaharui surau ini dengan pelbagai kelengkapan yang diperlukan bagi menjalani ibadah terhadap Allah dengan sempurna. Antara kelengkapan yang telah disediakan ialah tandas awam yang berasingan jantina yang selesa bagi pengguna,kemudahan pembesar suara juga disediakan bagi memudahkan azan didengari oleh penduduk di kampung ini. Selain itu, di surau ini juga terdapat suatu tempat khas untuk menyimpan pinggan mangkuk dan peralatan memasak yang lain,hal ini kerana surau ini menawarkan kemudahan untuk penduduk kampung yang tidak mampu dari segi kewangan untuk membeli peralatan memasak untuk  mengadakan kenduri secara besar-besaran. Surau ini diisi oleh penduduk kampung  pada setiap hari, jemaah paling ramai ketika solat fardhu subuh, maghrib dan isyak.  
                    Di surau inilah banyak aktiviti kerohanian dan fizikal dilaksanakan  untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk kampung  ini. Antara aktiviti kerohanian yang menjadi agenda penting bagi surau ini ialah kelas fardhu ain dan belajar Al-Quran pada setiap hari selasa. Selain itu, majlis kesyukuran juga kerap di lakukan di surau ini. Program riadah dan kemasyarakatan turut tidak dilupakan antaranya Majlis Korban, Jamuan Hari Raya, program ziarah rumah ke rumah, pertandingan melukis, perlawanan sukan persahabatan (bola tampar, futsal) dan sebagainya.

                    Pada setiap bulan Ramadhan, penduduk di kampung ini banyak meluangkan masa mereka di surau untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.  Antara aktiviti yang dilaksanakan pada bulan yang penuh barakah ini ialah taddarus al-Quran pada siang hari dan solat tarawih pada malam harinya. Menurut salah seorang penduduk Kampung ini, iaitu Mat b. Din suatu ketika dahulu sesudah selesai majlis taddarus al-Quran dan dilaksanakan majlis khatam Al-Quran, ahli taddarus Al-Quran akan diberikan cenderamata berupa wang ataupun makanan menggunakan sumber dari dana surau ini. Tujuan Cenderamata diberikan adalah untuk memeriahkan lagi majlis khatam Al-Quran dan supaya dapat menarik ramai lagi peserta untuk menyertai majlis ini.
                   Surau Kampung Bemban merupakan lokasi yang dapat mengeratkan hubungan antara penduduk di kampung ini mahupun kampung yang bersebelahan.Konklusinya,  rumah Allah adalah tempat yang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah.Sekian.